Novel Pelari Muda ini merangkumi nota bagi sinopsis, tema dan persoalan, watak dan perwatakan, teknik plot, plot, gaya bahasa, nilai dan pengajaran.
Contents
Sinopsis
Kamarul menjadi popular dalam sekelip mata setelah memenangi beberapa hadiah dalam sukan MSSM, dan sukan SEA di Brunei. Oleh sebab berita dan gambarnya kerap disiarkan dalam televisyen dan akhbar maka Kamarul mula bersikap angkuh. Kamarul mengelak untuk hadir latihan sukan sekolah dan berbual-bual dengan kawan-kawannya. Bagi Kamarul, kawan-kawan sekolah dan latihan sukan sekolah sudah tidak penting lagi.
Kamarul menunjukkan sikap kurang senang apabila ditegur oleh cikgu-cikgu di sekolah. Malah, Kamarul memarahi Saridah yang menasihatinya supaya jangan bersikap sombong dengan kawan-kawan. Selain itu, Kamarul enggan menjalani latihan kecergasan bawah bimbingan Encik Kadir kerana latihan yang diajar oleh Encik Kadir itu serupa sahaja dan amat membosankan. Kamarul tidak mematuhi jadual latihan dan kerap ponteng latihan tanpa sebarang sebab. Kamarul lebih suka membuat latihan kecergasan sendiri. Rupa-rupanya, ada seorang pelari yang lain yang sedang berusaha dengan gigih untuk mengatasinya, iaitu Sures Menon.
Dalam pemilihan ke Sukan SEA di Bangkok, Sures Menon berjaya mengalahkan Kamarul. Kamarul amat runsing. Persahabatannya dengan Saridah semakin renggang. Hubungannya dengan Encik Kadir dan kawan-kawan sekolah sudah pun renggang. Kamarul amat tertekan. Sewaktu menyemberang jalan, Kamarul tidak menoleh ke kiri. Sebuah kereta datang dari arah bertentangan kemudian melanggarnya. Kamarul dihantar ke hospital. Kamarul mengalami kecederaan pada bahagian lutut, muka, dan mata.
Kunjungan Encik Kadir, Cikgu Zainal, Saridah dan rakan-rakan sekelas menyebabkan sifat keegoan Kamarul cair. Kamarul memohon maaf daripada mereka. Kamarul mula menyediakan dirinya untuk menghadapi pertandingan antarabangsa yang cukup bermakna bagi dirinya, iaitu sukan SEA ke-14 di Bangkok.
Kamarul bertemu De Wega, pelari Filippina yang amat dikagumi. De Wega menasihati Kamarul supaya menjadi seorang atlet yang berdisiplin, patuh kepada arahan jurulatih, tidak mudah putus asa dan sentiasa menjalinkan persahabatan dengan rakan-rakan jikalau mahu menjadi atlet negara yang dikagumi. Kemudian, Kamarul, De Wega, Sures Menon dan beberapa orang lagi pelari dari negara lain bertanding dalam acara 100m dan 400m di Stadium Nasional, Bangkok. Kamarul mendapat dua pingat emas dalam kedua-dua acara ini. Kamarul amat gembira. Kamarul ingin cepat pulang ke Malaysia untuk bertemu dengan keluarga dan rakan-rakan sekolahnya terutama Saridah.
Sinopsis Bab 1
Kamarul tidak membaca akhbar seperti biasa. Selepas bersarapan, memakai stoking dan kasut. Wajahnya muram. Hal ini disedari oleh ibunya. Ibunya menebak bahawa Kamarul bergaduh dengan Saridah. Kamarul hanya menjawab bahawa mereka hanya salah faham. Ibunya bertanya kepada Kamarul sama ada dia boleh memaafkan Saridah atau pun tidak. Kamarul hanya mengaangguk.
Dalam perjalanan ke sekolah, Kamarul terkenang akan pertengkarannya dengan Saridah beberapa hari yang lalu. Saridah menegur sikap kamarul yang semakin sombong. Kamarul mempertahankan dirinya dengan mengeluarkan kata-kata yang angkuh kepada Saridah. Kamarul tertanya- tanya sama ada benarkah dia semakin sombong? Dia juga terbayang akan Cikgu Zainal, iaitu guru yang mula-mula mengesan bakatnya. Kemudian, dia terbayang akan Encik Kadir, jurulatihnya. Encik Kadir memintanya turun menjalani latihan. Namun begitu, dia tidak mahu berlatih di bawah kelolaan jurulatihnya itu. Kamarul berasa Sures, Rajip, dan Mahat belum dapat menandingi rekod kepantasannya lagi.
Kamarul masih teringat kepada Saridah. Dia mencari Saridah di kelas, tetapi Saridah tiada. Sebaliknya, dia bertemu dengan Sures. Sures mengingatkannya bahawa Encik Kadir meminta mereka ke Pusat Sukan Kampung Pandan petang nanti. Kata-kata Sures itu dibalas endah tak endah oleh Kamarul.
Sinopsis Bab 2
Sures menunggu Kamarul di Pusat Sukan Kampung Pandan tetapi Kamarul masih belum sampai. Sures terkilan kerana Kamarul tidak menepati janji. Sures tertanya-tanya tentang sikap Kamarul yang banyak berubah. Kamarul sudah jarang-jarang berbual dengan kawan-kawan yang lain. Dia juga mengelak untuk menghadiri latihan sukan tahunan sekolah.
Semasa Sures melakukan latihan memanaskan badan, Encik Kadir memanggilnya. Encik Kadir bertanyakan Sures tentang Kamarul yang masih belum datang. Sures mencuba untuk mempertahankan Kamarul. Sures yang tidak mahu memeningkan kepalanya terus menyertai kumpulan lain yang sedang menjalani latihan.
Petang itu, mereka membuat lima larian pantas. Sures berlari dengan pantas dan berjaya mengatasi pelari-pelari yang lain. Dia tersenyum apabila menerima tepukan daripada perlari-pelari lain. Sebelum mereka bersurai, Encik Kadir berjumpa dengan Sures. Encik Kadir mahu Sures memberitahu Kamarul untuk berjumpa dengannya esok hari. Sures mengangguk. Encik Kadir kelihatan kecewa akan ketidakhadiran Kamarul pada hari itu.
Saridah bertemu dengan Suresh. Sures bertanyakan Saridah tentang Kamarul. Saridah tidak tahu. Sures menceritakan masalah tentang sikap Kamarul belakangan ini. Saridah kemudiannya meminta diri untuk pulang ke rumah.
Sinopsis Bab 3
Saridah menunggu Kamarul di perpustakaan. Dia kecewa kerana kelibat Kamarul langsung tidak kelihatan. Dia pulang ke kelasnya. Juriah menghampiri Saridah yang dilihatnya sedang muram. Saridah membisu. Juriah menebaknya bergaduh dengan Kamarul. Dia menasihati Saridah. Saridah hanya memandang Juriah tanpa bersuara.
Selepas waktu sekolah, Saridah tidak terus pulang ke rumah. Dia ke perpustakaan. Dia menulis surat untuk Kamarul. Walau bagaimanapun, dia berasa serba salah hendak menyerahkan surat itu kepada Kamarul. Juriah datang menemui Saridah. Saridah memintanya menyerahkan surat itu kepada Kamarul.
Sinopsis Bab 4
Selepas minum petang, Kamarul hendak keluar untuk berjoging. Ibunya hairan kerana dia hanya berpakaian biasa. Ketika dia hendak meminta diri untuk pergi berjoging, ibunya menyerahkan sepucuk surat kepadanya.
Kamarul berhenti lalu membaca surat itu. Surat daripada Saridah benar-benar menyentak hati kecilnya. Dia teringatkan tindakannya terhadap Saridah. Wajah Cikgu Zainal dan Encik Kadir silih berganti. Surat itu dikeronyoknya lalu dibuang ke dalam longkang. Hatinya kembali marah dan geram.
Kamarul berjalan menghala ke Stadium Merdeka. Kamarul terbayang seolah-olah dia dikelilingi oleh ribuan penonton yang bersorak untuknya. Dia menjerit dan suaranya yang kuat itu bergema ke ruang tempat duduk. Dia menyedari tiada sesiapa di situ. Dengan geram dia terus keluar dari stadium itu.
Sinopsis Bab 5
Saridah berasa masa bergerak begitu lambat. Dia tidak gemar menunggu kerana baginya menunggu amat membosankan. Saridah teringat akan Kamarul. Dia tertanya-tanya sama ada Kamarul sudah membaca suratnya. Adakah Kamarul sudi memaafkannya? Dia kemudiannya menarik laci almarinya. Matanya tertumpu pada sebuah album. Dia melihat-lihat gambar dalam album tersebut.
Saridah cuba mengingati pertama kali dia terpilih mewakili Wilayah Persekutuan ke Sukan MSSM. Saridah mula mesra dengan Kamarul ketika berada di padang Stadium Merdeka. Kamarul yang memulakan perbualan dengan Saridah. Dia agak gugup dan gementar sedangkan Kamarul hanya selamba. Semenjak itu, kemesraan antara mereka terus terjalin.
Setelah beberapa bulan kemesraan mereka terjalin, Kamarul semakin berubah. Hal ini demikian kerana, dia semakin terkenal. Wajahnya selalu terpampang di akhbar dan kaca televisyen. Dia tidak mahu menyertai sukan tahunan sekolah kerana dianggap tidak layak baginya yang merupakan ahli sukan negara. Dia juga pernah bertelagah dengan Cikgu Zainal.
Sinopsis Bab 6
Kamarul datang ke Pusat Sukan Kampung Pandan. Ketika dia hendak menyertai Sures, Suradi, Mahat, dan Rajib, Encik Kadir memanggilnya. Encik Kadir hendak berjumpa dengannya selepas latihan nanti. Kamarul hanya mengangguk.
Semasa latihan, Encik Kadir memberitahu bahawa dia masih belum berpuas hati akan tahap pencapaian pelatihnya. Dia meminta mereka melipatgandakan latihan. Endik Kadir menegur Suradi yang menunjukkan pencapaian yang menurun. Namun begitu, dia berbangga akan pencapaian Sures .
Selepas melakukan latihan, Encik Kadir membunyikan wisel bagi mengarahkan pelatihnya berlari ke garisan permulaan. Dia mengarahkan mereka berlari pecut. Dalam latihan itu, Sures telah berjaya sampai dahulu di garisan penamat. Encik Kadir berasa kecewa akan prestasi yang ditunjukkan oleh Kamarul.
Encik Kadir mengarahkan Suradi dan Rajip berlumba. Kedua-duanya berlepas agak baik. Di pertengahan larian, Suradi memecut meninggalkan Rajip. Encik Kadir memberitahu mereka bahawa konsentrasi yang yang baik sewaktu berlepas amat penting. Encik Kadir mengarahkan Sures dan Kamarul pula untuk berlumba. Sures berjaya menewaskan Kamarul dengan catatan 10.78 saat. Hal itu amat membanggakan Encik Kadir. Sures tersenyum lebar apabila dipuji oleh Encik Kadir.
Encik Kadir menegur Kamarul kerana sering ponteng dan datang lambat semasa latihan. Kamarul menegaskan bahawa dia berlatih sendirian di rumah. Encik Kadir mengingatkan Kamarul jika dia sering melanggar disiplin namanya akan digugurkan daripada mewakili negara. Kamarul sekali lagi menegaskan bahawa dia boleh berlatih sendiri. Dia meninggalkan Encik Kadir yang sedang melihatnya.
Sinopsis Bab 7
Kamarul pulang ke rumah dalam keadaan marah. Semua kelakuannya diperhatikan oleh ibunya. Ketika membaca akhbar, dia terjumpa akan kenyataan yang dibuat oleh Encik Kadir. EncikKadir menyatakan bahawa prestasi atlet kebangsaan sedang meningkat. Namun begitu, dia juga menyentuh tentang masalah disiplin para peserta negara.
Kamarul berasa Encik Kadir sedang menempelaknya. Dia menusuk wajah Encik Kadir pada akhbar sehingga berlubang pada bahagian mata. Ibu Kamarul menegur perbuatannya yang keterlaluan itu. Ibunya menasihatinya supaya jangan membenci orang. Kamarul hanya tersengih manakala ibunya menggelengkan kepala.
Saridah menelefon Kamarul. Kamarul menjawab panggilan Saridah. Pada akhir akhir perbualan mereka, Saridah mendoakan Kamarul memperoleh kejayaan yang cemerlang di Bangkok. Kata-kata Saridah itu membuatkan Kamarul berdebar-debar.
Saridah tiba di sekolah pada petang itu. Dia tercari-cari kelibat Kamarul tetapi hampa. Saridah teringat akan Juriah. Baginya, Juriah ialah sahabat yang paling dipercayai pada masa ini. Juriah datang menyapa Saridah. Mereka berbual-bual tentang Saridah yang tadinya kelihatan sedang termenung. Tiba-tiba, Juriah bertanya tentang perasaan Saridah terhadap Kamarul. Saridah tiba-tiba menjadi sayu. Juriah menyatakan bahawa tidak salah mencintai seseorang tetapi sebagai pelajar, pelajaran perlu diutamakan. Juriah mengingatkan Saridah bahawa peperiksaan SPM sudah semakin hampir dan peperiksaan SPM ini yang bakal menentukan kehidupan mreka pada masa akan datang. Juriah menasihati Saridah agar melupakan Kamarul dan menumpukan perhatian terhadap peperiksaan.
Saridah memeluk Juriah. Tingkah laku mereka diperhatikan oleh beberapa orang pelajar yang lain. Tidak lama selepas itu, mereka bergerak ke padang.
Sinopsis Bab 8
Kamarul bertengkar dengan Adibah, ketua kelasnya. Hal ini demikian kerana, Adibah menghalangnya keluar dari kelas untuk bertemu dengan Cikgu Zainal di bilik guru. Selepas loceng berbunyi, Kamarul berlalu mengikut pintu belakang. Rakan-rakannya yang lain menggelengkan kepala melihat kelakuan Kamarul.
Kamarul masuk ke bilik guru berjumpa dengan Cikgu Zainal. Cikgu Zainal memberitahu Kamarul bahawa dia melepaskan Kamarul bercuti kerana diminta oleh Presiden KOAM. Cikgu Zainal turut mengingatkan Kamarul tentang peperiksaan SPM yang akan bermula tidak lama lagi. Dalam pada itu, Cikgu Zainal memuji Kamarul kerana mengharumkan nama negara dan nama sekolah.
Kamarul berdebar-debar apabila Cikgu Zainal membangkitkan nama Encik Kadir. Beliau berasa hairan tentang prestasi Kamarul yang dikatakan semakin menurun. Kamarul menghela nafas dan berharap agar Cikgu Zainal tidak terus-terusan bertanya tentang perkara itu. Cikgu Zainal mengucapkan syabas dan semoga berjaya kepada Kamarul. Perasaan debar Kamarul hilang selepas keluar dari bilik guru itu.
Sinopsis Bab 9
Pada petang itu, Kamarul tiba lebih awal daripada biasa. Sukan SEA di Bangkok hanya tinggal beberapa minggu lagi. Encik Kadir hendak menguji kecergasan Kamarul. Kemudian, dia memanggil Sures. Dia meminta mereka bersedia untuk berlumba. Kamarul melakukan kesilapan dengan permulaannya yang agak lambat. Sures memecut laju. Kamarul juga memecut sekuat tenaga, namun usahanya sia-sia apabila Sures terlebih dahulu sampai di garisan penamat.
Encik Kadir menasihati Kamarul tentang disiplinnya itu. Encik Kadir memberikan pingat emas yang dimenangi Kamarul dahulu kepada Kamarul sebagai pembakar semangat. Kamarul berasa sangat marah lalu membaling pingat itu kepada Encik Kadir lalu beredar dari Pusat Sukan Kampung Pandan. Semasa Kamarul sedang berjalan meninggalkan kawasan tersebut, dia ditimpa kemalangan yang menyebabkan dia terlantar di hospital.
Sinopsis Bab 10
Dia tidak mengalami kecederaan yang serius. Dia hanya luka dan bengkak urat sahaja. Encik Kadir, Saridah, dan rakan-rakannya telah melawat Kamarul di hospital. Doktor Munirah membenarkan Kamarul pulang ke rumah. Kamarul berasa gembira, namun apabila terbayang wajah Encik Kadir, Sures, Saridah, Cikgu Zainal, dan ibunya, perasaan riangnya lenyap. Kamarul tersentuh oleh tindakan mereka itu lalu dia sedar akan kesalahan yang telah dilakukannya kepada mereka. Kamarul berasa dirinya sangat bersalah.
Encik Kadir muncul di hadapan katilnya untuk membawanya pulang. Kamarul mengucapkan terima kasih lalu meminta maaf. Encik Kadir memintanya melupakan perkara yang lalu. Encik Kadir memintanya berlatih dengan tekun bagi mengembalikan kecergasannya.
Sinopsis Bab 11
Kamarul teringat akan tajuk rencana akhbar yang dibacanya. Dia agak cemas kerana harapan yang terlalu tinggi terpaksa digalasnya. Kamarul diuji berlumba dengan Sures dan Rajip. Dalam ujian itu, dia memperoleh tempat tercorot. Dia tidak percaya akan keputusan tersebut. Encik Kadir menasihatinya supaya tidak berputus asa. Menurut Encik Kadir lagi, dia akan membantu Kamarul.
Kamarul melihat buku yang mencatatkan catatan yang pernah dibuatnya di Sukan MSSM, SUKMA, dan Sukan SEA. Dia sedar bahawa dia sudah jauh ketinggalan.
Sinopsis Bab 12
Kamarul akan berlepas ke Bangkok. Dia gelisah apabila Saridah belum datang lagi. Adibah dan Fazilah mengusik Kamarul yang kelihatan gelisah. Tidak lama kemudian, Saridah tiba di lapangan terbang. Kamarul tidak dapat berbual-bual lebih lama kerana waktu untuk berlepas sudah tiba. Rakan-rakannya mengucapkan kata-kata penuh semangat kepada Kamarul.
Tema dan Persoalan
Tema
TEMA
Novel Pelari Muda mengungkapkan tema tentang semangat juang anak muda menghadapi pelbagai cabaran demi mengejar cita-cita. Contohnya Kamarul diduga dengan cabaran berat dalam hidupnya setelah dia menjadi terkenal kerana memenangi pingat emas dalam Sukan SEA di Brunei. Hubungan dengan rakan-rakannya semakin renggang kerana mereka menganggap dia semakin sombong dan sikapnya sudah berubah apatah lagi apabila dia enggan bertanding dalam kejohanan kecil seperti sukan tahunan sekolah. Kamarul cuba menafikan perkara itu namun akur bahawa dia semakin kurang menjalani latihan pusat dan bersikap biadap apabila ditegur oleh jurulatihnya.
Persoalan
PERSOALAN
Kegigihan seorang atlet untuk meningkatkan prestasi
– Sures berusaha bersungguh-sungguh untuk meningkatkan rekod masa lariannya supaya dia dapat menewaskan rekod masa Kamarul.
Hubungan antara kawan baik
– Hubungan Kamarul dengan Saridah sangat rapat. Ibu Kamarul juga menyayangi Saridah seperti anaknya. Mak Jah tidak mahu Kamarul bergaduh dengannya lama. Hubungan Saridah dengan Juriah. Saridah sering menceritakan masalah yang dihadapinya kepada Juriah. Juriah juga menasihati Saridah supaya fokus akan pelajaran dan bukan bermain perasaan.
Tanggungjawab seorang jurulatih terhadap atletnya
– Encik Kadir juga mengambil berat tentang prestasi atlet-atletnya yang lain seperti prestasi Suradi yang naik dan turun.
Kesabaran menghadapi karenah manusia
– Encik Kadir bersabar dengan tingkah laku Kamarul yang kurang berdisiplin. Daripada memarahinya, beliau menasihati Kamarul dan memberikan pingat emas sebagai pembakar semangatnya. Beliau juga melawat Kamarul yang terlantar sakit kerana kamalangan di hospital walaupun Kamarul telah menyakiti hatinya.
Keprihatinan masyarakat terhadap musibah yang dihadapi orang lain
– Mak Jah prihatin dengan masalah yang dihadapi anaknya. Dia bertanyakan masalah yang dihadapi Kamarul setelah berasa pelik dengan perlakuannya yang tidak seperti kebiasaannya.
Watak dan Perwatakan
Watak Utama : Kamarul Baharuddin
Berusia 17 tahun.
Seorang pelari pecut, mewakili negara Malaysia.
Kamarul berkawan rapat dengan Saridah. Mereka mula berkawan rapat semasa sukan MSSM.
Seorang yang angkuh dan sombong kerana kejayaan dan kepopularannya.
Seorang yang tidak berdisiplin.
Belajar dalam Tingkatan 5 Sastera 1 dan akan menduduki peperiksaan SPM pada hujung tahun.
Tidak mengenang budi
– Kamarul enggan berlatih bawah bimbingan Encik Kadir kerana telah bosan.
Buruk sangka
– Encik Kadir sengaja mendendanya berlari lapan kali pusing keliling padang untuk membalas dendam.
Insaf akan kesalahannya
– Kamarul menyesal bersikap kurang ajar dengan Encik Kadir dan bersikap sombong dengan kawan-kawan sekolah setelah dia dilanggar kereta.
WATAK SAMPINGAN
1. Saridah
Saridah ialah kawan baik Kamarul.
Berusia 17 tahun.
Seorang pelari pecut.
Berkawan baik dengan Kamarul dan Juriah.
Menyukai Kamarul dan amat mengambil berat tentang Kamarul. Seorang yang bersopan santun.
Seorang yang peramah dengan orang tua.
Belajar dalam Tingkatan 5 Sastera 1 dan akan menduduki peperiksaan SPM pada hujung tahun.
2. Mak Jah
Ibu kepada kamarul dan isteri kepada Encik Baharudin.
Seorang ahli perniagaan yang berjaya.
Penyayang – Menyayangi Saridah kerana dia tidak mempunyai anak perempuan.
Prihatin – Menasihati Kamarul supaya berbaik-baik dengan Saridah.
Bertanggungjawab – Menjaga Kamarul di hospital.
3. Sures Menon
Sures ialah ahli sepasukan dengan Kamarul.
Berusia 17 tahun.
Seorang pelari pecut, mewakili negara Malaysia.
Berazam untuk menewaskan catatan masa Kamarul.
Seorang yang bersemangat dan bersungguh-sungguh.
Seorang yang berdisiplin.
Seorang yang amanah – Buktinya, dia menyampaikan pesanan Encik Kadir kepada Kamarul.
4. Juriah
Juriah ialah kawan baik Saridah.
Berusia 17 tahun.
Sentiasa membantu Saridah dalam susah dan senang.
Seorang yang selalu bergurau.
5. Encik Kadir
Encik Kadir ialah jurulatih untuk atlet olahraga kontinjen Malaysia.
Seorang yang tegas.
Seorang yang tidak berputus asa dan mengambil berat akan atlet-atletnya.
Seorang yang bertimbang rasa.
6. De Wega
De Wega ialah pelari pecut Filipina yang diminati Kamarul.
Berusia 34 tahun.
Seorang yang peramah dan rendah diri.
Seorang buruh kereta api sebelum menjadi pelari pecut.
Seorang yang berdisiplin.
Seorang yang bersungguh-sungguh dan tidak mudah berputus asa.
Pemurah dalam memberi nasihat.
Binaan Plot
1. Permulaan
Kamarul bersiap-siap hendak ke sekolah. Kamarul tidak gembira kerana hubungannya dengan Saridah semakin renggang. Dalam perjalanan ke sekolah, Kamarul teringat akan Cikgu Zainal, guru sukan yang mula-mula mengesan bakatnya dalam bidang olahraga.
2. Perkembangan
Kamarul telah banyak berubah kerana sudah terkenal. Kamarul enggan berlatih dengan Encik Kadir kerana baginya latihan yang diberikan oleh Encik Kadir amat membosankannya. Kamarul enggan bergaul dengan kawan-kawan sekolah. Kamarul juga enggan menjalani latihan sukan sekolah.
3. Klimaks
Kamarul susah hati. Tahap kecergasannya semakin menurun. Kamarul bergaduh dengan Encik Kadir kerana dia kerap ponteng latihan. Akibat terlalu runsing, Kamarul melintas jalan raya tanpa menoleh ke kiri. Kamarul dilanggar kereta. Kamarul melambung ke udara kemudian terhempas di tengah-tengah jalan. Kamarul pengsan lalu di bawa ke hospital.
4. Peleraian
Kamarul mendapat dua pingat emas dalam acara lari pecut 100 meter dan 400 meter dalam Sukan SEA ke-14 di Bangkok. Kamarul menerima ucapan tahniah daripada Encik Kadir dan rakan-rakannya di Malaysia. Kamarul bertukar-tukar cenderamata dengan De Wega. Kamarul dan atlet-atlet yang lain pulang ke Malaysia.
Teknik Plot
Teknik dialog
Teknik monolog
Teknik monolog dalaman
Teknik imbas kembali
Teknik pemerian
Latar
Latar Tempat
- Di rumah Kamarul
- Di sekolah
- Di hospital
- Di Pusat Sukan Kampung Pandan
- Di Bangkok
- Di perpustakaan sekolah
Latar Masa
- Pada waktu siang
Latar Masyarakat
- Masyarakat yang sombong dan angkuh apabila mendapat kejayaan dan populariti.
- Masyarakat yang berdisiplin.
- Masyarakat yang tidak menepati janji dan masa.
- Masyarakat yang lemah kerana cinta.
- Masyarakat yang gigih berusaha.
- Masyarakat atlet yang gigih menjalani latihan.
- Masyarakat pelajar.
- Masyarakat yang bertanggungjawab.
Nilai dan Pengajaran
Nilai
Bertanggungjawab
– Adibah juga cuba mengambil tindakan tentang kesalahan Kamarul kerana dia seorang ketua kelas. Encik Kadir juga cuba untuk menyelesaikan masalah Kamarul kerana dia bertanggungjawab atas atlet-atletnya.
Kesopanan
– Kesopanan Saridah yang menambat hati Mak Jah.
Keyakinan
– Kamarul pada akhir cerita yakin pada dirinya dia dapat mencapai kemenangan dengan sokongan rakan-rakan dan jurulatihnya.
Mengakui kesalahan diri
– Kamarul sedar akan kesalahan dia terhadap semua orang yang disakitinya semasa dia terlantar sakit di hospital.
Hormat-menghormati
– De Wega menghormati Kamarul walaupun Kamarul muda daripadanya dan telah mengalahkannya dalam lumba lari.
Pemaaf
– Kamarul dan Saridah memaafkan satu sama lain.
Amanah
– Sures telah menyampaikan pesanan Encik Kadir kepada Kamarul.
Kerajinan
– Sures rajin berlatih untuk menewaskan Kamarul. Kamarul juga rajin berlatih di rumah walaupun tidak datang ke latihan pusat.
Kesabaran
– Encik Kadir sabar akan kelakuan Kamarul yang tidak bertanggungjawab itu dan masih percaya akan Kamarul.
Kasih sayang
– Kasih sayang Saridah terhadap Kamarul sebagai kawan. Saridah cuba menasihati kawan baiknya yang semakin angkuh. Selain itu, Saridah berada di sisi Kamarul semasa dia terlantar sakit di hospital.
Pengajaran
- Kita hendaklah berusaha mengejar cita-cita.
- Kita hendaklah mempunyai semangat maju sukan untuk negara.
- Kita hendaklah patuh akan nasihat jurulatih.
- Kita hendaklah bersyukur setelah mencapai kejayaan bukan bersikap sombong dan ego.
- Kita hendaklah memohon maaf setelah melakukan kesalahan.
- Kita hendaklah memaafkan kesalahan orang lain.
- Kita hendaklah membantu rakan-rakan yang menghadapi masalah.
- Kita hendaklah menepati janji setelah berjanji.
Dapatkan “Nota Novel Pelari Muda” di sini
Di sini admin nak kongsikan bahan tersebut. Sila download menggunakan link yang telah disediakan.
Format dokumen ini adalah dalam ‘PDF’
Download : Novel Pelari Muda
Penutup
Sekian. Semoga perkongsian ini iaitu Novel Pelari Muda dapat memberikan sedikt sebanyak manfaat kepada anda khususnya kepada murid dan guru-guru sekolah menengah. Teruskan bersama kami di t.me/sistemguruonline bagi mendapatkan informasi dan bahan-bahan pendidikan yang terkini dan terbaik dari semasa ke semasa. Terima kasih.