Kisah Dongeng Burung Bangau dan Ketam untuk Cerita Kanak-Kanak. Kisah dongeng merupakan salah satu cara yang efektif untuk mendidik kanak-kanak di sekolah. Melalui cerita-cerita yang penuh dengan pengajaran, kanak-kanak dapat belajar tentang nilai-nilai moral dan etika. Salah satu kisah dongeng yang menarik untuk dikongsi ialah “Kisah Dongeng Burung Bangau dan Ketam”. Kisah Dongeng Burung Bangau dan Ketam ini tidak hanya menyeronokkan tetapi juga sarat dengan pengajaran penting yang relevan dalam kehidupan seharian.
Kisah Dongeng Burung Bangau dan Ketam untuk Kanak-Kanak
Pada suatu masa dahulu, terdapat sebuah tasik yang sangat cantik. Airnya sangat jernih dan penuh dengan pokok-pokok teratai yang berbunga sepanjang tahun. Suasana di sekitar tasik itu amat memukau. Pokok-pokok di sekelilingnya tumbuh dengan subur. Banyak burung tinggal di kawasan tasik tersebut, termasuklah seekor burung bangau. Di dalam tasik pula, hidup pelbagai jenis ikan dan haiwan lain seperti ikan tilapia, sepat, kelah, keli, haruan, ketam, dan katak.
Burung bangau sangat suka tinggal di kawasan tasik kerana mudah mendapatkan makanan. Ikan-ikan kecil di tasik itu sangat jinak dan mudah ditangkap. Setiap hari, burung bangau menunggu di tepi tasik untuk menangkap ikan yang menghampirinya.
Beberapa tahun kemudian, burung bangau semakin tua. Ia tidak lagi sekuat dulu untuk menangkap ikan. Kadang-kadang, ia tidak mendapatkan ikan untuk dimakan dan terpaksa berlapar sepanjang hari. Burung bangau mula risau dan berfikir, "Kalau begini, aku akan mati kelaparan kerana tidak lagi berdaya untuk menangkap ikan. Aku mesti mencari cara supaya dapat memperoleh makanan dengan mudah."
Burung bangau mendapat idea dan berpura-pura duduk termenung dengan perasaan sedih di tepi tasik. Seekor katak yang kebetulan berada di situ melihat bangau yang murung dan bertanya, "Kenapa aku lihat kamu asyik termenung dan bersedih sahaja, wahai bangau?"
Bangau menjawab, "Aku sedang memikirkan nasib kita semua penghuni tasik ini."
"Apa yang merunsingkan kamu? Kita sudah sekian lama hidup di sini tanpa menghadapi masalah," kata katak.
"Awak manalah tahu. Aku sering terbang ke sana sini dan mendengar manusia berbincang tentang kemarau yang akan melanda kawasan ini dalam beberapa bulan lagi. Kau lihat sajalah sejak kebelakangan ini cuaca panas dan hujan pun sudah lama tidak turun," kata bangau.
"Aku khuatir tasik ini akan kering dan semua penghuni tasik akan mati," sambung bangau lagi.
Katak mengangguk tanda setuju. Tanpa membuang masa, katak terus melompat ke dalam tasik untuk memberitahu kawan-kawannya.
Berita tentang kemarau tersebar dengan cepat. Semua penghuni tasik berkumpul di tebing sungai tempat bangau berada. Masing-masing riuh rendah menanyakan bangau tentang berita tersebut. Seekor ikan haruan bertanya, "Apakah cadangan kamu untuk membantu kami semua?"
Burung bangau berkata, "Aku ada satu cadangan, tetapi aku khuatir kamu semua tidak setuju."
"Apa cadangan tersebut?" tanya haruan dengan tidak sabar.
Bangau berkata, "Tidak jauh dari sini ada sebuah tasik besar dan airnya dalam. Aku percaya tasik tersebut tidak akan kering walaupun berlaku kemarau panjang."
"Bolehkah engkau membawa kami ke sana?" sampuk ketam.
"Aku boleh membawa kamu seekor demi seekor kerana aku sudah tua dan tidak berdaya membawa kamu lebih daripada itu," kata burung bangau lagi.
Mereka pun bersetuju dengan cadangan burung bangau.
Burung bangau mula mengangkut seekor demi seekor ikan dari tasik itu. Namun, ikan-ikan tersebut tidak dipindahkan ke tasik yang disebutnya. Sebaliknya, bangau membawa ikan-ikan tersebut ke batu besar berhampiran tasik dan memakannya dengan lahap kerana sudah beberapa hari tidak makan. Setelah ikan yang dibawa dimakan habis, ia terbang lagi untuk mengangkut ikan yang lain. Begitulah perbuatannya sehingga tiba giliran ketam.
Oleh kerana ketam mempunyai sepit, ia hanya bergantung pada leher burung bangau dengan menggunakan sepitnya. Apabila hampir sampai ke kawasan batu besar, ketam melihat tulang-tulang ikan bersepah di atas batu tersebut. Ketam berasa cemas dan berfikir, "Matilah aku kali ini dimakan oleh bangau." Ketam memikirkan cara untuk menyelamatkan diri. Setelah tiba di atas batu besar, ketam masih berpegang pada leher bangau dan bertanya, "Di manakah tasik yang engkau katakan dan mengapa engkau membawa aku ke sini?"
Bangau ketawa terbahak-bahak dan berkata, "Kali ini engkau akan menjadi rezeki aku."
Dengan perasaan marah, ketam menyepit leher bangau dengan lebih kuat, menyebabkan bangau sukar bernafas. Bangau merayu meminta dilepaskan dan berjanji akan menghantar ketam kembali ke tasik. Ketam tidak peduli dan menyepit lebih kuat lagi sehingga leher bangau putus dua dan bangau mati di situ.
Dengan perasaan gembira kerana terselamat, ketam bergerak perlahan-lahan menuju ke tasik sambil membawa kepala bangau. Apabila tiba di tasik, kawan-kawannya masih menunggu giliran masing-masing. Setelah melihat ketam kembali dengan membawa kepala bangau, mereka kehairanan. Ketam menceritakan kisah yang berlaku. Semua binatang di tasik gembira kerana terselamat daripada menjadi makanan burung bangau yang tamak dan mementingkan diri sendiri. Mereka mengucapkan terima kasih kepada ketam kerana telah menyelamatkan mereka.
Pengajaran: Kita tidak boleh bersikap tamak dan mementingkan diri sendiri. Kita hendaklah memikirkan perasaan orang lain.
Kesimpulan Kisah Dongeng Burung Bangau dan Ketam untuk Kanak-Kanak
- Kisah ini menunjukkan pentingnya tidak bersikap tamak.
- Sikap tamak dan mementingkan diri sendiri boleh membawa padah.
- Pengajaran moral yang boleh diambil ialah kita harus sentiasa mempertimbangkan perasaan dan nasib orang lain.
- Kepintaran dan keberanian boleh menyelamatkan kita dari situasi yang berbahaya.
- Kerjasama dan perbincangan bersama penting dalam menghadapi masalah.
Kisah Dongeng Burung Bangau dan Ketam ini dapat membantu kanak-kanak memahami nilai-nilai moral dengan cara yang menyeronokkan dan mudah difahami.