Menjelang musim demam kenduri, mari kita bincang suatu peribahasa yang berbunyi bagai cincin dan permata. Sememangnya perkahwinan akan berlangsung sewaktu musim cuti bagi memudahkan jemputan datang ke majlis kenduri atau walimatul urus.
Peribahasa sangat dekat dengan hati orang melayu yang menggambarkan kehalusan pemikiran dalam berbicara dan membuat suatu ungkapan.
Bagai Cincin dan Permata
Bagai cincin dan permata merupakan perumpamaan dalam peribahasa melayu berbentuk perbandingan sesuatu perkara.
Maksud tersirat bagai cincin dan permata
Secara umum cincin merupakan perhiasan tangan yang menjadi penyeri dan isyarat tertentu bagi seseorang yang telah melangsungkan perkahwinan, atau bertunang dan bujang. Ditambah lagi cincin itu dengan permata, maka bertambahlah seri keindahannya.
Peribahasa Melayu seperti cincin dengan permata ialah perumpamaan yang menggambarkan kecantikan yang sama elok sama padan. Kata mudah bagi zaman sekarang seperti kata ‘ngam’ ,serasi, secocok atau satu kepala.
Oleh itu, secara kebiasaannya perumpamaan ini digunakan untuk pengantin baharu yang melangsungkan perkahwinan.
Dari Segi Pribahasa
Bagai Cincin dan Permata merupakan perumpamaan pecahan dalam peribahasa kerana diawali dengan perkataan bagai.
Perumpamaan merupakan susunan kata yang memberikan makna dalam bentuk perbandingan dan menggunakan pangkal kata seperti bak, bagai,macam, barat, laksana, seperti serta dan umpama.
Ikuti kami di telegram pendidikan bagi mendapatkan bahan nota dan latihan untuk pelajar sekolah rendah dengan menekan pautan di bawah:
Contoh Ayat Menggunakan Peribahasa Bagai Cincin dan Permata
- Pasangan mempelai yang sedang bersanding itu laksana cincin dengan permata membuatkan para tetamu terpesona dan bergilir-gilir ingin bergambar bersama.
- Pasangan itu bagai cincin dengan permata kerana mereka sama cantik dan kedua-dua daripada keluarga yang berada.
- Bagai cincin dan permata melihat azrul yang berarak bersama pasangannya anisah ke pelamin pernikahan.
Perumpamaan Lain yang Sama atau Hampir Sama Maksudnya
- Bagai pinang dibelah dua.
- Seperti dakwat dengan kertas.
- Laksana bulan dengan matahari.
- Seperti susu dengan sakar.
Perumpamaan berlawanan
- Bagai langit dengan bumi
- Bagai tanduk bersendi gading
Menggunakan Cincin di Jari
Dari Segi Adat
Secara adat kebiasaan orang melayu, terdapat 3 jenis cara menggunakan cincin sebagai isyarat sesuatu ikatan. penerangan ringkas seperti berikut:
- Merisik
Merisik merupakan proses mengirim ahli keluarga atau wakil untuk pergi meminang seseorang wanita sama ada sudah berpunya atau belum. sekoranya pinangannya di terima, maka sebagai tanda persetujuan akan diberikan cincin belah rotan kepada wanita tersebut. penggunaan cincin ini pada jari manis tangab kanan.
- Bertunang
Sebaik sahaja wanita tersebut terima pinangan, tergantung kepada pihak lelaki atau pihak perempuan melakukan pernikahan terus atau melangsungkan pertunangan dahulu. Sewaktu pertunangan wanita akan dipasangkan cincin berpermata pada jari manis tangan kanan juga.
Pertunangan juga digunakan sebagai pertanda bahawa wanita tersebut sudah berpunya dan bermula sesi perkenalan sebelum pernikahan. Hal ini adakalanya berlaku disebabkan pihak lelaki atau wanita hendak melanjutkan pelajaran, atau kewangan belum mencukupi.
- Berkahwin
Selepas suatu tempoh perjanjian, majlis pernikahan akan dilangsungkan sama ada di bahagian perempuan sahaja atau kedua dua pihak bagi majlis yang jauh. Cincin bagi pernikahan akan dipakaikan pada jari manis tangan kiri.
Hukum di Sisi Islam
Sunnah Cincin
Jika ditanyakan bagaimana caranya Nabi SAW memakai cincinnya? Maka jawapannya seperti mana di dalam sebuah hadis riwayat Anas bin Malik RA, beliau menyebutkan:
- Maksudnya: Adalah Nabi SAW memakai cincin pada jari ini (sambil menunjukkan ke arah jari kelinking pada tangan kirinya)
Riwayat Muslim (2095)
Tegahan dalam Menggunakan Cincin
Memakai Cincin di Jari Tengah
Di dalam sebuah hadis riwayat Muslim, `Ali bin Abi Talib RA telah berkata:
- Maksudnya: Rasulullah SAW menegahku dari memakai cincin pada jari ini dan ini (sambil menunjukkan kepada jari tengah dan selepasnya iaitu jari telunjuk)
Riwayat Muslim (2078)
Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah mengatakan bahawa telah ijma` sekalian muslimin akan sunnah memakai cincin pada jari kelinking bagi lelaki dan bagi wanita pula, boleh dikenakan pada mana-mana sahaja dari jarinya. Adapun tegahan Nabi SAW pada hadis di atas membawa hukum makruh tanzih dan dibolehkan untuk mengenakan cincin pada tangan kanan ataupun kiri kerana pada keduanya itu terdapat hadis yang sahih.
Berdasarkan kenyataan-kenyataan di atas, maka hukum bagi lelaki memakai cincin pada jari tengah (hantu) dan juga telunjuk adalah makruh tanzih dan yang sunnahnya adalah dengan memakai pada jari kelinking dan menurut mazhab Syafi’e tidak kisah sama ada memakainya pada tangan kiri ataupun kanan.
Sebaiknya pemakaian cincin pada jari tengah dan telunjuk harus dielakkan dan bagi lelaki di luar sana yang ingin memakai cincin, maka bolehlah memakainya pada jari kelinking ataupun jari manis.
Dipetik daripada:
- Laman web rasmi pejabat mufti wilayah persekutuan, dengan tajuk hukum lelaki memakai cincin di jari tengah.
Semoga perkongsian kali ini memberi input yang baik dalam pemahaman peribahasa bagai cincin dan permata dan hukum penggunaan cincin di jari.