Kesalahan ejaan merupakan kesalahan umum bahasa yang tidak sepatutnya berlaku. Hal ini adalah kerana ejaan merupakan peringkat yang paling asas dalam bahasa. Tapi sayang, disebabkan sikap ketidakprihatinan kita, masalah ini kadang-kadang berlaku secara berleluasa.
Kesalahan Ejaan
Apa Yang Sepatutnya Anda Faham Kesalahan Ejaan
Menurut kamus dewan edisi keempat, ejaan bermaksud kaedah atau cara menulis perkataan dengan huruf. Penyelarasan ejaan khususnya tertumpu pada kata-kata pinjaman seperti tatanama ubat, bahan kimia, batu, bakteria, virus, kulat, dan lain-lain lagi.
Ejaan dapat digolongkan sebagai rumus tulisan yang diselaraskan untuk mewakili bunyi-bunyi ujaran. Ejaan menjadi kesalahan yang ketara apabila melibatkan ejaan yang biasa digunakan, tetapi bagi ejaan kata pinjaman atau perkataan yang jarang digunakan kebiasaannya kita terlepas pandang.
Contoh kesalahan ejaan
Sebagai contoh kesalahan ejaan yang biasa kita gunakan seperti dalam jadual di bawah:
Salah | Betul |
---|---|
latarbelakang | latar belakang |
perihatin | prihatin |
mekanisma | mekanisme |
Mari ikuti kami di saluran Telegram bagi mendapatkan nota dan latihan melalui pautan berikut:
Kategori Kesalahan Ejaan
Kesilapan Ejaan (Kata)
Salah | Betul |
---|---|
auto matif | automotif |
analisa | analisis |
atlit | atlet |
atnik | etnik |
baucer | baucar |
bumiputra | bumiputera |
buroh | buruh |
cocok (tusuk) | cucuk (tusuk) |
cucuk (sesuai) | cocok (sesuai) |
catit | catat |
dasyhat | dahsyat |
definasi | definisi |
deraf | draf |
efisyen | efisien |
ekslusif | eksklusif |
ekspot | eksport |
fadhilat | fadilat |
Febuari | Februari |
geharu | gaharu |
hajjah | hajah |
Kesilapan Ejaan (Kata Majmuk)
Salah | Betul |
---|---|
acapkali | acap kali |
ada pun | adapun |
adakala | ada kala |
barang kali | barangkali |
biar pun | biarpun |
bandaraya | bandar raya |
cendera mata | cenderamata |
cahayamata | cahaya mata |
campurtangan | campur tangan |
gantirugi | ganti rugi |
garispanduan | garis panduan |
hapuskira | hapus kira |
ibubapa | ibu bapa |
isipadu | isi padu |
lalulintas | lalu lintas |
latarbelakang | latar belakang |
lebuhraya | lebuh raya |
mana kala | manakala |
penguatkuasa | penguat kuasa |
pilihanraya | pilihan raya |
Kesilapan Ejaan (Kata Pinjaman)
Imbuhan Pinjaman
Imbuhan yang dipinjam daripada imbuhan Sanskrit, imbuhan Arab, dan imbuhan Inggeris. Boleh diterima pakai sebagai imbuhan pinjaman dalam bahasa Melayu baku.
Contoh imbuhan pinjaman:
Imbuhan Inggeris:
Awalan
Imbuhan | Makna | Contoh |
---|---|---|
anti- | menentang / benci | antidadah antikomunis anti-Amerika |
auto- | dengan sendiri | automatik autonomi automobil |
poli- | banyak | poligami poliklinik politeknik |
pro- | menyokong / menyebelahi | prokerajaan probarat pro-Malaysia |
sub- | sebahagian daripada | subtajuk subbidang subsistem |
supra- | melebihi / merentasi | supranasional suprakelas |
pasca- | selepas | pascakemerdekaan pascakolonial pascamajlis |
Akhiran
Imbuhan | Makna | Contoh |
---|---|---|
-is | orang yang melakukan | cerpenis kartunis ekonomis |
-isme | kepercayaan / ajaran / fahaman seseorang | kapitalisme komunisme nasionalisme |
-logi | bidang ilmu | antologi psikologi morfologi |
-grafi | bidang ilmu / bidang seni | geografi kaligrafi biografi |
*Catatan
Jika kata imbuhan pinjaman diimbuhkan dengan kata nama khas, tanda sempang (-) mesti diletakkan antara imbuhan dengan kata nama khas tersebut.
Contoh : pro-Malaysia, anti-Israel
Imbuhan Sanskrit
Awalan
Imbuhan | Makna | Contoh |
---|---|---|
dasa- | sepuluh | dasawarsa |
dwi- | dua | dwibahasa dwimusim dwicara |
eka- | satu | ekabahasa ekafungsi ekatujuan |
juru- | orang yang pakar / mahir dalam sesuatu bidang | juruhebah jurubahasa juruterbang |
maha- | agung / besar | mahaguru maharaja mahasiswa |
panca- | lima | pancaragam pancawarna pancaindera |
pra- | sebelum | prakata prasangka prasyarat |
tata- | peraturan / sistem | tatabahasa tatatertib tatadunia |
Akhiran
Imbuhan | Makna | Contoh |
---|---|---|
-ita | wanita / perempuan | biduanita posnita |
-man | orang yang memiliki sifat / kepakaran dalam sesuatu bidang | seniman budiman |
-wan | 1. orang yang pakar dalam sesuatu bidang melakukan sesuatu perbuatan 2. memiliki sesuatu sifat 3. memiliki sesuatu | jutawan wartawan jelitawan ilmuwan angkasawan |
-wati | wanita yang mahir dalam sesuatu bidang pekerjaan | peragawati seniwati angkasawati |
*catatan
-wan (diimbuhkan dengan kata dasar yang berakhir dengan huruf-huruf lain)
-man (diimbuhkan dengan kata dasar yang berakhir dengan huruf ‘i’)
Imbuhan Arab – Parsi
Awalan
Imbuhan | Makna | Contoh |
---|---|---|
bi- | tidak | biadab bilazim binormal |
Akhiran
Imbuhan | Makna | Contoh |
---|---|---|
-ah | orang perempuan / wanita | ustazah qariah |
-at | orang perempuan / wanita | muslimat hadirat |
-iah | hal yang ada perkaitan dengan sifat | ilmiah jasmaniah alamiah |
-in | orang lelaki | hadirin muslimin musyrikin |
*catatan
-wi [untuk kata dasar yang berakhir dengan huruf vokal]
-in [untuk kata dasar yang berakhir dengan huruf konsonan
Dapatkan nota lengkap senarai kesalahan ejaan dan pembetulannya melalui pautan berikut:
Disediakan oleh: Fadzli
Pemahaman
Cuba kesan kesalahan ayat di bawah dan perbaiki kesalahan tersebut:
Latihan 1
Dalam setiap ayat di bawah terdapat beberapa kesalahan bahasa. Kenal pasti kesalahan-kesalahan itu dan betulkan dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.
1. Ali ditugas sebagai Pengarang di akhbar Utusan Melayu semenjak lapan tahun yang lalu.
2. Hana berkecimpung di dalam bidang peternakan itik, rusa dan Angsa sejak kecil lagi.
Latihan 2
Dalam setiap ayat di bawah terdapat beberapa kesalahan bahasa. Kenal pasti kesalahan-kesalahan itu dan betulkan dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.
1. Asean dianggota oleh Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina, Berunai, Vietnam, Singapura, Laos, myanmar, dan kemboja.
2. Menurut percayaan masyarakat Melayu, sang kancil adalah binatang yang pintar.
Latihan 3
Dalam setiap ayat di bawah terdapat beberapa kesalahan bahasa. Kenal pasti kesalahan-kesalahan itu dan betulkan dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.
1. Tabeat merokok bagi wanita hamil akan bahayakan kesihatan dan keselamatan bayi yang di kandung.
2. “Keahlian aku di dalam persatuan ini sudah berlangsung selama enam tahun,” berkata pensyarah tersebut.