Mari kita tingkatkan usaha kita dengan menghayati kata-kata hikmah man jadda wajada dari segi al-Quran dan hadis. Sebagai umat Islam, kita perlu yakin akan janji Allah yang akan membantu hambanya di setiap keadaan, yang kita panggil tawakal.
Namun, pengertian tawakal perlu difahami dengan usaha terlebih dahulu barulah boleh bertawakal. Oleh itu, mari kita lihat nas al-quran dan hadis berkaitan tajuk ini.
Contents
Kata-kata Hikmah Man Jadda Wajada
Apa Maksud Man Jadda Wajada?
Man Jadda Wajada berasal daripada Bahasa Arab bermaksud barang siapa yang berusaha maka dia akan berjaya atau barang siapa yang bersungguh-sungguh maka dia akan dapat.
Ungkapan ini merupakan sebahagian daripada mutiara kata atau kata-kata hikmah orang Arab. Ia bukan daripada Al-Quran atau hadis, namun terdapat maksud yang sama dengan apa yang terdapat dalam nas.
Dalam peribahasa Man jadda wajada dikategorikan sebagai pepatah yang mempunyai rangkai perkataan yang berkerat-kerat atau berpatah-patah. Pepatah ini biasanya diajarkan dalam bentuk malfuzat yang bermaksud himpunan nasihat. Dalam malfuzat sendiri banyak ditemui kata-kata hikmah yang dimulakan dengan kata “man” yang bermaksud “siapa” atau “barang siapa.”
Ikuti kami di saluran telegram untuk mendapatkan nota dan latihan bagi pelajar sekolah secara percuma melalui pautan berikut:
Ayat Al-quran Berkaitan Man Jadda Wajada
Kejayaan yang sebenar dalam Al-quran adalah dengan mentaati perintah Allah dan rasulnya, kita akan memperoleh kejayaan yang sebenar iaitu masuk syurga Allah subhanahuwa ta’ala di akhirat. Perkara ini dipetik daripada firman Allah dalam surah Al- Ahzab ayat 71 seperti berikut:
Maksudnya: “Dan (ingatlah) sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya ia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan.”
Ayat ini anjuran untuk taat kepada perintah Allah dan Rasulnya. Kemenangan yang besar itu maksudnya kita dimasukkan ke dalam syurga. Ini kerana kejayaan dalam ayat ini menggunakan kalimah “Faza” yang bermaksud berjaya selamat dari sesuatu yang membahayakan. Yang dimaksudkan adalah berjaya selamat dari neraka. Dan ini tentunya kejayaan yang amat menggembirakan sekali.
Oleh itu, mari kita lihat ayat al-quran berkaitan berusaha dalam mentaati perintah Allah bahkan Allah akan permudahkan urusan dunianya.
Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan), dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya. (Surah al-ankabut: ayat 69)
Hadis Berkaitan Man Jadda Wajada
Salah faham yang ramai orang pegang adalah istilah tawakal. Tawakal bukan beerti tidak perlu usaha, tetapi usaha dahulu barulah tawakal. Seperti sabda nabi sallallahu alaihi wa sallam,
Maksudnya: “Seandainya kamu semua benar-benar bertawakkal pada Allah, sungguh Allah akan memberikan kamu rezeki sebagaimana burung mendapatkan rezeki. Burung tersebut pergi pada pagi hari dalam keadaan lapar dan kembali petang harinya dalam keadaan kenyang.”
Riwayat Ahmad (1/30), al-Tirmizi (2344), Ibn Majah (4164),
Ibn Hibban (730) dan al-Hakim (7894)
Imam al-Ghazali menyatakan: Tawakal dalam Islam bukanlah suatu sikap eskapisme bagi orang-orang yang tidak mahu berusaha atau gagal usahanya, tetapi tawakal itu ialah tempat kembalinya segala usaha. Tawakal bukan menanti nasib sambil berpangku tangan, tetapi berusaha sekuat tenaga dan setelah itu baru berserah diri kepada Allah. Allah lah yang nanti akan menentukan hasilnya. (Lihat Ihya’ Ulum al-Din, 2/65)
Dirujuk daripada:
Tashih Al-mafahim #16 : Bolehkah Bertawakkal Tanpa Berusaha
Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Peribahasa yang Sama Maksud Dengan Man Jadda Wajada
Peribahasa yang sama maksud dengan man jadda wajada merupakan peribahasa yang membawa erti cekal untuk mencapai tujuan. Perhatikan dalam jadual berikut:
Peribahasa | Maksud |
---|---|
(a) alang-alang berminyak, biar licin (b) alang-alang berdakwat, biarlah hitam (c) mati-mati berdakwat biar hitam (d) mati-mati berminyak biar licin (e) mati-mati mandi biar basah (f) sepala-pala mandi biarlah basah | melakukan sesuatu itu mestilah sampai beroleh matlamatnya |
(a) esa hilang, dua terbilang (b) pertama hilang, kedua terbilang (C) berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian | berusaha dengan keazaman yang bersungguh-sungguh dan tidak takut menanggung risikonya |
(a) lancar kaji kerana diulang, pasar jalan kerana diturut (b) pasar jalan kerana diturut, lancar kaji kerana diulang | sesuatu kepandaian atau kemahiran dapat diperoleh kerana selalu berlatih |
Peribahasa yang Berlawanan Maksud Dengan Man Jadda Wajada
Peribahasa yang berlawanan maksud dengan man jadda wajada merujuk kepada tiada usaha yang dilakukan untuk mencapai impian. Antara peribahasa yang berkaitan adalah seperti berikut:
Peribahasa | Maksud |
---|---|
(a) asyik memangku tangan, mati dalam angan-angan (b) jika tidak dipecah ruyung, di mana boleh mendapat sagu (c) kurang sisik, tinggal lidi di buku; kurang selidik, tinggal kaji di guru (d) pengayuh sayang dibasahkan, sampan takkan sampai ke seberang | sesuatu maksud itu tidak akan tercapai kalau tidak berusaha |
(a) cakap berdegar-degar, tahi tersangkut di gelegar (b) cakap berdegar-degar, tumit di keting | cakap sahaja yang besar tetapi tidak ada satu kerja pun yang dilakukannya |
(a) malu bertanya, sesat di jalan; malu berdayung, perahu hanyut (b) malu bertanya, sesat di jalan; malu berkayuh, perahu hanyut (c) malu makan, perut lapar (d) segan bergalah, hanyut serantau (e) segan berkayuh, perahu hanyut (f) segan bertanya, sesat jalan | kemajuan tidak akan diperoleh kalau malas untuk berusaha |
Dapatkan senarai peribahasa beserta maksud sebagai rujukan penulisan dan percakapan melalui pautan berikut:
Disediakan Oleh: Cikgu Juilis Mokujal
Kesimpulannya, man jadda wajada adalah bermaksud barang siapa yang berusaha, dia akan berjaya. Berjaya yang sebenar adalah dapat masuk syurga dengan berusaha mentaati perintah Allah dan ikut cara rasulullah. Natijahnya, akan membantu urusan dunia dan akhirat kita dari segi mudah belajar, rezeki, kesihatan, kemudahan dalam segala urusan dan banyak lagi.